Monday 25 July 2016

Solat : Apa itu Solat? (bahagian 1)

 Assalamualaikum WBT 

Tajuk Besar: SOLAT
Tajuk kecil: Apa itu Solat?? (Bahagian 1)
Tempat: Group Whatsapp
Masa: 9.15 malam
Naqibah: Ukhti Fazarina (Founder UMS)

بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ

بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Bersyukur kita ke hadrat Illahi dapat berkumpul sama sama malam ni untuk membincangkan satu tajuk iaitu Apa itu solat?

Mesti ada di kalangan kita tahu & ada yang tidak tahu apa itu solat. Mungkin sebab kita hanya diajar cara solat tanpa tahu maksud sebenar solat. In shaa Allah malam ini kita akan kupas sedikit ilmu berkaitan solat.

Solat dari takrif bahasa merupakan doa.


Pengertian solat dalam syarak pula ialah "beberapa ucapan dan beberapa perbuatan yang dimulai dengan takbir, disudahi dengan salam dan dengannya kita beribadah kepada Allah, menurut syarat-syarat yang telah ditentukan."

Takrif solat dari pandangan Ariffbillah pula ialah "solat itu suatu perhubungan yang menghubungkan antara hati dengan Tuhan. Tujuannya untuk MENYATAKAN Tuhan."

Ada tiga perkataan penting yang perlu perhatian :


1. Perhubungan
2. Hati
3. Tuhan
Huraian tafsiran solat dari pandangan Ariffbillah:

Solat itu suatu PERHUBUNGAN.

Apa yang hendak dihubungkan?
Menghubungkan Hati dengan Tuhan.

Apa maksud hati?
Hati itu Qalbu/Roh. Maka yang hendak dihubungkan adalah Roh dengan TuhanNya.

Siapa yang menghubungkan?
Tuhan itu sendiri melalui perantaraan Roh. Tuhan menyatakan diriNya melalui Roh. Roh menyatakan diriNya melalui makhluk (manusia). Manusia menyatakan dirinya melalui jasad. Jasad menyatakan dirinya melalui sel. Sel menyatakan dirinya melalui nukleus. Nukleus menyatakan dirinya melalui atom dan atom itu kembali menyatakan diri TuhanNya. *_(Tujuh Martabat : Bermula dengan Tuhan dan berakhir dengan Tuhan )_*

Perhubungan itu boleh membawa maksud menyaksikan, bertemu, berkomunikasi atau berinteraksi. Komunikasi yang baik adalah komunikasi dua hala.

Apalah erti komunikasi jika hanya satu pihak saja yang berkomunikasi?
Apalah erti pertemuan jika tidak bertemu?
Apalah erti berinteraksi jika satu pihak sahaja yang beri reaksi?
Apalah erti saksi, jika tidak kenal saksi dan tidak pernah menyaksikan saksi?

Bila telah berkomunikasi, bila telah berinteraksi, bila telah bertemu antara Roh dengan Tuhan, maka akan nyatalah Penyaksian itu. Nyata penyaksian bermakna, nyatalah Tuhan itu. Bila nyata Tuhan, maka tiadalah segala sesuatu melainkan DIA.

Apa tugas makhluk manusia?
Untuk beribadah kepada Tuhan.

Apa itu ibadah?
Merendahkan, menundukkan dan melenyapkan diri makhluk hingga tidak lagi kelihatan segala sesuatu, zahir dan batin melainkan Allah.

Bagaimana nak merendahkan diri?
Buang segala sesuatu yang bersifat makhluk. Bila mati sifat makhluk, maka nyatalah sifat Tuhan. Bila Tuhan telah nyata, maka berhubunglah.

Bagaimana untuk berhubung?
Lakukan solat

Apa itu solat?
Suatu perhubungan yang menghubungkan antara hati dengan Tuhan. Tujuannya untuk menyatakan Tuhan.

Bagaimana bersolat (berhubung)?
Matikan diri daripada segala sesuatu. Buang segala sifat makhluk. Buang segala nama yang bernama. Buang segala sifat yang bersifat, Buang segala perbuatan yang memperbuat. Buang segala zat yang berzat. Bila segalanya telah dibuang, pulangkan segala sifat itu kembali kepada pemilikNya (Tuhan). Tuhan itulah Nama (Asma') bagi segala yang bernama. Tuhan itulah Sifat bagi segala yang bersifat. Tuhan itulah yang memperbuat segala Perbuatan (Af'al). Tuhan itulah Zat bagi segala yang mempunyai zat. Sebab itulah bila sampai di _"haiya alaasolah"_ kita pun menjawab _"laa hau lawala quwwata illa billah..."_

Untuk tajuk seterusnya, kita akan sambung pada minggu hadapan. Semoga apa yang dikongsikan pada hari ini dapat memberi sedikit sebanyak pengetahuan kepada anda semua. In shaa Allah.

Wallahualam bissawab

------------------------------------------------

Moga Allah redha.

------------------------------------------------

Wallahua'lam. Berakhir sudah perkongsian untuk kali ini.

Semoga Allah SWT melimpahkan hidayah dan taufikNya bagi kita yang mendapat ilmu baru yang kita telah perolehi.

In shaa Allah.

Dipersilakan berkongsi namun sebarang EDITING dilarang sama sekali. Hormati ilmu dan pemberi ilmu dengan TIDAK MENGUBAH atau MEMBUANG mana-mana bahagian dalam perkongsian ini.

******************************

Sila follow group Usrah Muslimah Solehah di :

Pages Facebook : https://www.facebook.com/usrahmuslimahsolehah

Wechat : Usrahmuslimahsolehah

Instagram : usrahmuslimahsolehah

Blogger : http://usrahmuslimahsolehah.blogspot.com/

Whatsapp : +60198767230 (Founder UMS - Ukhti Fazarina)

Telegram : telegram.me/usrahmuslimahsolehah

Twitter : @Usrahmuslimahsolehah

Muslimah Solehah Tidak Memandang & Tidak Dipandang

No comments:

Post a Comment